Selasa, 11 Maret 2014
Browse Manual »
Wiring »
agama
»
berhati
»
hati
»
isu
»
suarakan
»
Berhati hati Suarakan Isu Agama
Berhati hati Suarakan Isu Agama
Ipoh – Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah kenyataan dan reaksi terhadap perkara menyentuh agama perlu disuarakan secara teliti dan berhati-hati untuk mengelak unsur provokatif dalam negara yang terdiri daripada rakyat pelbagai penganut agama.
Baginda bertitah agama merupakan subjek yang sangat dekat di hati serta mempunyai ikatan emosi rapat dengan penganutnya.
“Setiap pengucapan, setiap tindakan, hendaklah berasaskan fikiran rasional dan bukan dipengaruhi emosi. Sebarang pertelingkahan, tidak harus dipolimikkan, tidak harus lebih dikusutkan. Kenyataan terbuka berunsur provokatif hendaklah dielakkan,” titah baginda semasa merasmikan penggal pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-13 di sini Isnin.
Titah baginda kompleksiti dalam menangani isu antara agama perlu difahami dan perlu dibincangkan dalam suasana mesyuarah berlandaskan sifat keilmuan untuk membolehkan tercapainya titik persefahaman.
Perselisihan sering berlaku akibat kurang memahami sensitiviti sesuatu isu yang sepatutnya ditangani secara bijaksana serta berhikmah dengan melihat sesuatu persoalan secara adil, saksama, memahami serta mendalami pemikiran pihak lain demi memastikan wujud amalan saling menghormati di samping menjamin ketenteraman awam.
“Suasana harmoni tidak mungkin tercapai jika setiap pihak memilih kaedah berkonfrontasi, kaedah kekerasan. Semangat yang terkandung di sebalik Perjanjian Hudaibiah yang dipelopori oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad hendaklah diselami dan dijadikan panduan supaya umat tidak berakhir dengan nasib menang sorak, kampung tergadai,” titah baginda.
Raja Nazrin bertitah tanggungjawab menangani isu agama memerlukan persefahaman semua pihak, justeru itu baginda mengharapkan semua anggota DUN Perak, tanpa mengira kabilah serta kumpulan politik mempamerkan sebaik-baik contoh serta ‘mengalunkan simfoni harmoni’ dan ‘mendendangkan lirik persefahaman’ supaya isu agama dapat dielak daripada disensasikan.
Selain itu baginda juga bertitah bilangan pengundi berdaftar yang meningkat dan peratusan tinggi yang mengundi pada pilihan raya umum ke-13 yang lepas adalah petanda positif dan bukti keyakinan rakyat mengenai hak yang diberikan kepada mereka untuk memilih kerajaan di samping mencerminkan kepercayaan rakyat bahawa demokrasi diamalkan di negara ini.
“Petanda positif ini perlu terus ditingkatkan dengan memberi perhatian kepada perkara yang mencetus kecurigaan, di samping merintis langkah-langkah pembetulan, menangani sebarang keraguan demi menjamin proses pilihan raya dilangsungkan secara berintegriti, dan demi memastikan terjaminnya hak asasi rakyat menurut yang termaktub dalam Perlembagaan Negara,” titah baginda.
Raja Nazrin menyatakan bahawa pada pilihan raya umum ke-13 yang lepas, 1.4 juta rakyat Perak telah mendaftar sebagai pengundi manakala peratusan yang mengundi juga meningkat daripada 72 peratus pada pilihan raya umum ke-12 kepada 82 peratus dalam pilihan raya umum lepas.
Menyentuh situasi negara yang kini berada di ambang sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-56, Raja Nazrin bertitah sejak terbentuknya sebuah negara bangsa, rakyat di negara ini memilih suara kesederhanaan iaitu menolak aliran pemikiran ekstremis sama ada berunsur ideologi, agama atau kaum.
“Kemerdekaan negara dirunding, diperjuangkan secara bersama-sama oleh semua pihak di negara ini. Negara Merdeka dibangunkan dengan persefahaman tertentu yang telah dicapai antara kaum di negara ini. Persefahaman tersebut telah menjadi akar tunjang kepada pohon perpaduan negara,” titah baginda.
Bagi menjamin ketenteraman awam dan keselamatan negara, Raja Nazrin menggesa supaya seluruh rakyat memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dalam menjalankan cabaran harian terutama memerangi jenayah.
Baginda turut melahirkan penghargaan terhadap pengorbanan anggota pasukan keselamatan, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan, kemerdekaan negara dan mengekalkan negara dalam suasana aman lagi tenteram. – BERNAMA
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar